IPOH: Polis menahan enam individu bagi membantu siasatan kes seorang anggota polis cedera ditembak dan penemuan mayat wanita dalam sebuah kereta di kawasan Simpang Pulai, Ipoh, awal pagi Ahad.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin ketika dihubungi berkata, mereka yang ditahan mempunyai hubungan kekeluargaan terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita.
Menurutnya, kesemua mereka ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan lanjut.
Noor Hisam berkata, identiti mayat wanita yang ditemukan di bahagian tempat duduk belakang kereta di kawasan kebun kelapa sawit itu telahpun dikenal pasti sebagai warga tempatan berusia 62 tahun.
Menurutnya, bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati punca kematian wanita itu adalah akibat kelemasan.
Katanya, Kereta yang digunakan bukan kenderaan curi dan pihak polis sedang menyiasat dengan lebih terperinci termasuk kaitannya dengan suspek utama.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi itu, seorang anggota polis berpangkat konstabel cedera selepas ditembak dan ditikam oleh seorang suspek ketika cuba memeriksa sebuah kereta mencurigakan di kawasan Taman Desa Pakatan.
Suspek bertindak melarikan diri sebelum meninggalkan kereta tersebut.
Siasatan lanjut dilakukan polis ke atas kenderaan itu kemudiannya menemukan mayat seorang wanita.


