LUMUT: Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas B ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak kerana melanggar syarat sah lesen, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, vesel yang menggunakan pukat tunda itu ditahan sekitar jam 8.30 pagi pada kedudukan 0.9 batu nautika timur laut Pulau Talang ketika rondaan rutin sedang dilaksanakan di kawasan tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut telah melanggar syarat lesen kerana tidak diusahakan sendiri oleh pemilik serta menggaji kru warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan.
“Dua kru warga Myanmar termasuk tekong dan seorang kru warga Thailand yang berada di atas vesel tersebut disyaki tidak memiliki permit kerja serta pas yang sah.
“Vesel bersama kesemua kru, peralatan menangkap ikan dan hasil laut telah dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kampung Acheh untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sehubungan itu katanya, kes berkenaan akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
Dalam pada itu, Mohamad Shukri turut menegaskan Maritim Malaysia akan terus melaksanakan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan menjejaskan sumber perikanan negara.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian
05-683 2254 untuk tindakan dan segera.


