TELUK INTAN: Dua mangsa pesawat ringan terhempas di Ladang Getah Upaya, Hutan Simpan, Gunung Besout, Trolak, Perak pada pagi Sabtu, telah dibawa keluar dari Hospital Slim River.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kedua-dua mereka dibawa keluar secara sukarela oleh anggota keluarga masing-masing.
Menurutnya, jurulatih, Kapten Shahrul Imran Surea, 26 tahun, dibawa untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur manakala pelatih, Ho Jia Lee, 20 tahun, di Hospital KPJ Ipoh.
“Pesawat tersebut masih lagi di lokasi nahas di mana pihak polis, pihak saya telah membuat kawalan dan juga pemantauan supaya nahas tersebut ataupun pesawat tersebut tidak diganggu gugat oleh orang ramai
“Kita juga serahkan kepada pihak Layang-Layang iaitu pihak syarikat penerbangan tersebut untuk mengambil tindakan seterusnya lah dan juga pihak CAAM untuk siasatan,” katanya.
Beliau ditemui dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri keluarganya di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan, di Langkap, hari ini.
Menurutnya, setakat ini tiada keperluan untuk pihak polis mengambil keterangan daripada kedua-dua mangsa.
Pada Sabtu, Mohd Yusri berkata, polis menyerahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) membuat siasatan dan hanya membantu siasatan seperti mengawal keadaan dan memastikan tiada orang awam memasuki kawasan tersebut.
Terdahulu, media melaporkan dua cedera apabila pesawat ringan yang sedang dalam latihan penerbangan terhempas di sebuah ladang.
Kemalangan dikatakan berlaku kira-kira jam 9.30 pagi Sabtu ketika pesawat dari Ipoh ke Tanjung Karang untuk latihan penerbangan dan terhempas dilokasi semasa dalam perjalanan balik ke Ipoh.
Kemalangan menyebabkan Kapten Shahrul Imran yang beralamat di Jalan Jelatek, Kuala Lumpur mengalami patah kaki kanan, manakala pelatih wanita, Ho Jia Lee, dari Ipoh cedera di muka.