IPOH: Jumlah mangsa banjir di tiga daerah di Perak mencatatkan trend penurunan dengan 341 daripada 110 buah keluarga masih ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga jam 12 tengah hari Sabtu.
Menurut jurucakap Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri Perak, mangsa banjir berkurang di daerah Hilir Perak dan Larut Matang dan Selama, namun jumlahnya masih kekal di Kuala Kangsar.
Katanya, pada jam 8 pagi tadi, terdapat 529 mangsa daripada 163 keluarga.
“Di Taiping terdapat lima PPS dibuka merangkumi 164 mangsa daripada 52 keluarga. Hilir Perak pula hanya satu PPS dengan 46 mangsa daripada 12 keluarga.
“Manakala Kuala Kangsar dengan empat PPS membabitkan 131 mangsa daripada 46 keluarga,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini media melaporkan, terdapat tiga daerah terjejas banjir di negeri ini.
Kawasan yang terjejas membabitkan Hilir Perak di Batu 9 Jalan Changkat Jong.
Taiping di Kampung Sungai Sungai Baru, Kampung Dato Sagor, Kampung Teluk Kertang, Kampung Temerlok, Kampung Nibong, Kampung Batu Hampar, Kampung Matang Gelugor, Kampung Matang Pasir.
Dan Kuala Kangsar di Kampung Periang, Kampung Temong, Kampung Jias Kota Lama Kiri dan Kampung Talang.