Lima anggota lapangan MBI terima anugerah prestasi cemerlang bulan Disember 2025

Berita Perak

IPOH: Seramai lima orang anggota lapangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini telah menerima Anugerah Prestasi Kerja atas pencapaian cemerlang bagi bulan Disember 2025.

Mereka ialah Basri Osman (Zon Jelapang), Jamaiyah Adnan (Zon Jelapang), Yamalatta a/p R. Nadaraja (Zon Chemor), Mohamad Zaquewan Zon (Zon Chemor) dan
Zamri Abdul Manaf (Unit Sisa Pepejal).

Menurut kenyataan MBI, pemilihan penerima anugerah ini melibatkan anggota lapangan daripada gred jawatan Pembantu Khidmat Am, Pemandu Kenderaan dan Mandor sahaja.

Katanya, seramai lima orang anggota dipilih setiap bulan daripada kalangan anggota yang sedang berkhidmat mengikut zon kawasan yang telah ditetapkan.

“Antara kriteria kelayakan yang diambil kira ialah anggota lapangan Gred H1 yang tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib, mempunyai rekod kehadiran kerja yang baik tanpa cuti sakit dan cuti rehat dalam bulan penilaian (diberi keutamaan).

“Selain itu tidak hadir lewat ke tempat kerja, melaksanakan tugas yang diarahkan dengan cekap serta tertakluk kepada keputusan panel penilaian jabatan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut kenyataan itu lagi pemberian anugerah berkenaam antara lain bertujuan menghargai sumbangan anggota lapangan yang merupakan tulang belakang MBI dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang cemerlang kepada wargakota Ipoh.

Katanya, penerima diberikan Sijil Penghargaan Cemerlang, wang tunai RM100 yang dikreditkan ke dalam akaun bank penerima serta paparan nama dan gambar penerima di pejabat atau lokasi strategik yang sering dikunjungi orang awam.

MBI telah melaksanakan inisiatif pemberian penghargaan kepada anggota lapangan yang menunjukkan prestasi cemerlang setiap bulan sebagai satu bentuk pengiktirafan terhadap perkhidmatan berkualiti tinggi yang diberikan berdasarkan pencapaian bulanan mereka.

Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah, telah mencadangkan pelaksanaan inisiatif itu untuk meningkatkan motivasi serta semangat kerja anggota lapangan agar komitmen dalam memastikan bandaraya Ipoh sentiasa bersih, sejahtera dan selesa dapat diteruskan secara berterusan.

Jabatan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Perbandaran diberi tanggungjawab melaksanakan serta mengawal selia kerja-kerja Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, yang merupakan perkhidmatan teras MBI.

Unit Pengurusan Sisa Pepejal pula melaksanakan kerja-kerja kutipan sampah di pasar awam milik majlis, pusat penjaja, medan selera serta Pengumpulan Sampah Domestik Luar Bandar (PPSD).

Sementara itu, Unit Pembersihan Awam menjalankan kerja-kerja penyapuan jalan, perkhidmatan kutipan sampah kebun dan pukal, pembersihan sampah haram serta pembersihan kawasan pasar awam, medan selera dan pusat penjaja.

MBI berharap agar pemberian anugerah itu dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan semangat kerja, mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan anggota serta mendorong mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi demi memastikan bandaraya Ipoh kekal bersih, indah dan selamat.