TAIPING: Seorang lelaki yang dilaporkan sesat ketika melakukan aktiviti riadah secara berkumpulan di Pusat Peranginan Bukit Larut, di sini ditemui selamat oleh pasukan penyelamat pada Ahad.
Mangsa yang dikenali sebagai Muhamad Firdaus Rozaini Ahmad Shukri, 30, ditemui di Pondok 3 iaitu sejauh 4 kilometer (km) dari kaki Bukit Larut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taiping menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.48 petang.
“Mangsa didapati hilang sewaktu menjalankan aktiviti riadah di km 7 secara sekumpulan seramai 11 orang.
“Kehilangan mangsa disedari oleh isterinya kerana sebelum kejadian tersebut, mangsa mengatakan ingin buang air dan bergerak secara berseorangan sebelum didapati tidak muncul semula sejak jam 10 pagi tadi,” katanya pada Ahad.
Justeru katanya, anggota bomba melakukan pencarian di sekitar lokasi tempat mangsa dimaklumkan hilang sehingga mangsa ditemui selamat.
Seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.

