IPOH: Sebanyak 7,306 pek nasi briyani berjaya diedarkan dalam tempoh satu jam di Masjid Sultan Idris Shah II, baru-baru ini, sempena program agihan makanan berbuka puasa.
Program tersebut dianjurkan oleh Persatuan India Muslim Perak (PRIM) dan bermula sekitar 3.30 petang bagi membolehkan orang ramai mendapatkan makanan untuk berbuka puasa.
Pengerusinya, Mohamed Arib Aliah berkata, orang ramai telah mula berkumpul di kawasan masjid seawal satu jam sebelum pengagihan bermula.





Menurutnya, program agihan itu telah menjadi tradisi sejak tahun 2014, dengan kerjasama dan sokongan pihak masjid.
Katanya, nasi briyani tersebut dimasak secara gotong-royong oleh sukarelawan sebelum diedarkan kepada masyarakat setempat.
“Program ini juga bertujuan berkongsi rezeki dan keberkatan dengan masyarakat pelbagai kaum,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan itu.
Menjelaskan lanjut, Mohamed Arib berkata, program itu bermula dengan 1,000 pek, sebelum meningkat kepada 2,000 dan 3,000 pek pada tahun-tahun berikutnya. Tahun lalu, sebanyak 5,000 pek telah diagihkan.
Dalam pada itu, Mohd Arib memaklumkan, selain program agihan pek makanan, persatuan tersebut turut melaksanakan program bantuan Hari Raya khusus untuk golongan asnaf B40.
Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini; Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim; dan Imam Besar Masjid Negeri Perak, Abd Farid Salleh.





