IPOH: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan menyediakan segala keperluan sebagai persiapan bagi membolehkan Tabika Perpaduan menjayakan rancangan prasekolah yang ditetapkan bermula pada umur lima tahun dan tahun satu pada umur enam tahun, mulai tahun 2027.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, ia perlu bagi memastikan Tabika Perpaduan tidak ketinggalan dalam setiap rancangan pendidikan kerajaan.
“Kita mengikutlah kalau kerajaan menyatakan begitu sebab setiap yang yang diadakan itu adalah untuk keperluan dan untuk menyelaraskan pendidikan di seluruh negara.



“Itulah inisiatif kerajaan, yang saya bagus, jadi kita ikutlah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serahan Mock Cheque Program Satelit Komuniti Rakyat Madani Tahun 2026 Peringkat Ipoh di Pusat NADI Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 2, di sini, hari ini.
Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026 – 2035 yang antara lain menetapkan
prasekolah bermula pada umur lima tahun dan tahun satu pada umur enam tahun, bergantung kepada kesediaan ibu bapa dan murid.
Setakat ini terdapat sebanyak 1,781 buah Tabika Perpaduan di seluruh negara dengan 33,000 pendaftaran.
Dalam pada itu, Aaron turut menyambut baik rancangan kerajaan untuk menyelaraskan semua sistem pendidikan prasekolah dan tadika, termasuk swasta, di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
Menurutnya, langkah itu dapat memastikan kualiti pendidikan seragam, mengikut kurikulum standard, serta memantau SOP operasi di seluruh negara.





