TAIPING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak telah menyita barang kawalan bernilai lebih RM10,000 di sebuah premis dekat Kuala Sepetang, di sini pada Selasa.
Menurut Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail, barang kawalan itu ialah gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, gula dan tepung gandum yang disyaki disimpan dalam sebuah premis tanpa nama bagi tujuan perniagaan.
Pemeriksaan melalui Ops Tiris 3.0 itu dilakukan penguat kuasa KPDN Perak Cawangan Taiping sekitar jam 10 pagi, semalam.
“Seorang lelaki warga tempatan berusia 79 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis gagal untuk mengemukakan surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan di premis tersebut.
“Sitaan dilakukan ke atas 104 unit tong LPG, 19 unit minyak masak botol, 40 kilogram (kg) minyak masak peket, 132kg gula pasir kasar dan 396 unit tepung gandum dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM10,935.70,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sehubungan itu, beliau berkata, kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
“KPDN akan terus melaksanakan aktiviti penguatkuasaan melalui inisiatif baharu dikenali sebagai Kita Gempur.
“Ia sebagai langkah strategik kerajaan untuk menangani isu manipulasi aktiviti perniagaan termasuk usaha mencegah penyelewengan barang kawalan.
“Selain mengekang penipuan perniagaan dalam talian (e-dagang), membanteras monopoli dan kewujudan kartel,” katanya lagi.