Konflik Asia Barat: Kerajaan tumpu usaha pastikan bekalan asas mencukupi

Berita Perak

IPOH: Kerajaan memberi tumpuan kepada usaha untuk memastikan bekalan dan keperluan asas rakyat di negara ini tidak terjejas di sebalik krisis yang melanda Asia Barat ketika ini.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, tumpuan terarah untuk memastikan bekalan barangan asas seperti daging, ayam, beras dan gula kekal stabil serta mencukupi.

Menurutnya, setakat ini bekalan barangan keperluan tersebut masih berada pada tahap baik walaupun terdapat kebimbangan gangguan bekalan akibat penutupan laluan udara dan laut di beberapa kawasan di Timur Tengah.

“Apa yang penting sekarang ialah memastikan barang-barang asas tidak terjejas, buat masa ini bekalan masih baik.

“Cuma apabila berlaku konflik seperti ini, mungkin ada barangan tertentu yang terkesan seperti minyak atau produk yang diimport dari Timur Tengah,” kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Motosikal di bawah Inisiatif Sejahtera Madani di Dewan Komuniti Sungai Tapah di sini, hari ini.

Muhammad Kamil berkata, kementerian berkaitan juga sedang meneliti langkah mengekalkan harga minyak pada kadar semasa bagi mengelakkan kesan berantai kepada harga barangan lain.

Katanya, kerajaan akan berusaha memastikan harga minyak kekal terkawal, namun tidak menolak kemungkinan perlu berhadapan dengan realiti sekiranya berlaku lonjakan harga yang tinggi di luar kawalan negara.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan Malaysia turut menggesa negara-negara berkaitan agar mengambil pendekatan diplomasi dan rundingan bagi menamatkan konflik yang sedang berlaku.

Menurutnya, usaha melalui dialog adalah penting bagi memastikan kestabilan ekonomi global serta mengelakkan kesan lebih besar kepada negara-negara lain.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Kamil berkata, seramai 22 individu daripada kategori penerima e-Kasih menerima bantuan motosikal menerusi Inisiatif Sejahtera Madani pada majlis tersebut.

Katanya, bantuan itu bertujuan memudahkan pergerakan penerima selain membantu mereka menjana pendapatan melalui aktiviti ekonomi seperti perniagaan kecil.

“Sebahagian daripada mereka sudah menjalankan perniagaan kecil-kecilan tetapi tidak mempunyai kenderaan sendiri.

“Jadi bantuan motosikal ini diharap dapat memudahkan urusan pergerakan dan meningkatkan peluang menjana pendapatan,” katanya.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan juga boleh diperluas kepada bentuk bantuan lain pada masa hadapan bergantung kepada keperluan semasa rakyat.

TAMAT