IPOH: Sebanyak 5,540 kg minyak masak peket disita di sebuah kilang pembungkus minyak masak dekat Kawasan Perindustrian Ringan, Jelapang di sini susulan disyaki menggunakan logo halal yang tidak sah.
Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail, serbuan dilakukan pada Rabu jam 2.30 petang.
Katanya, serbuan ke atas kilang berkenaan turut membabitkan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
“Sebuah kilang pembungkus minyak masak disyaki menggunakan sijil halal yang tidak sah bagi tujuan perdagangan.
“Hasil serbuan mendapati kilang tersebut sedang menjalankan aktiviti pembungkusan minyak masak serta menggunakan logo halal pada bungkusan produk berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut terhadap pemilik kilang mendapati bahawa sijil halal yang dimiliki telah digantung disebabkan pelanggaran syarat pensijilan halal,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.
Sehubungan itu, beliau menambah satu tindakan kes telah diambil di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Ujarnya, nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan berjumlah RM14,233.
Selain itu, seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang mengaku sebagai pengurus syarikat telah diambil keterangan.
Kamalludin berkata, kes disiasat kerana melanggar Perenggan 4(1) Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730].
Dan menjadi kesalahan di bawah Perenggan 8(a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu kesalahan memperaku mana-mana makanan itu adalah halal.






