Kerajaan diminta tangani kenaikan harga santan – DPPM Perak

Berita Perak

IPOH: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak meminta kerajaan, khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) segera menangani masalah kenaikan harga santan yang mencecah RM20 sekilogram.

Yang Dipertua DPPM Perak, Amirudin Tan Sri Tajudin berkata, kenaikan itu telah memberi tekanan yang cukup hebat kepada peniaga, khususnya peniaga mikro dan kecil.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diperolehi, harga santan yang dicampur sedikit air dijual pada harga sekitar RM15 sekilogram manakala santan yang tidak dicampur air dijual RM20 sekilogram.

“Kami menerima aduan daripada ahli-ahli dalam kategori mikro dan kecil, khususnya yang berniaga kueh muih pada Ramadan, menyatakan sangat terkesan dengan kenaikan harga santan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Amirudin berkata, KPKM boleh mengambil beberapa langkah seperti mengimport lebih banyak kelapa dari negara jiran.

Di samping itu, katanya, KPKM juga boleh meneroka sumber baharu kelapa yang dikatakan jauh lebih murah seperti India dan Sri Lanka.

Baru-baru ini, media melaporkan
harga kelapa import dari Indonesia yang meningkat sejak tahun lalu memaksa peniaga bertindak menaikkan harga santan sehingga mencecah RM20 sekilogram.

Tindakan drastik itu terpaksa dilakukan bagi mengelak kerugian walaupun terpaksa berhadapan penurunan jualan apabila semakin ramai pengguna tidak sanggup menggunakan santan segar sebaliknya beralih pada santan segera.