BIDOR: Keluarga Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar yang terkorban dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, Jumaat lalu berharap nama anggota polis itu diabadikan pada surau baharu yang akan dibina di Kampung Poh Tambahan.
Bapa allahyarham, Azhar Khaiden berkata, cadangan itu disuarakan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika majlis tahlil, Ahad lalu.
Menurutnya, beliau sendiri telah membuat permohonan surau baharu itu kira-kira dua tahun lalu, dan dimaklumkan kerajaan negeri telah meluluskannya dengan peruntukkan RM400,000.
“Saya bercita-cita dan berhajat untuk menamakan surau baharu ini sempena dengan nama anak saya kerana dengan sebab musabab beliau, Menteri Besar (Datuk Seri Saarani Mohamah) sampai ke Kampung Poh, datang rumah saya.
“Saya minta nama surau ini diabadikan namanya, Surau Al-Fahmi Kampung Poh Tambahan, Bidor,” katanya.
Bapa lapan anak itu ditemui selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad di kediamanya di Kampung Poh Tambahan, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak,
Datuk Salbiah Mohamed, Ahli Dewan Undangan Negeri Behrang, Salina Samsudin.
Azhar turut berkongsi berita gembira apabila satu-satu anak lelakinya yang tinggal, Ahmad Azza Fitri yang bertugas di Sabah diluluskan untuk berpindah ke Ibu Pejabat Polis (IPK) Perak di Ipoh bagi membantu memberi semangat kepada isterinya, Nurhaliza Awaluddin, selepas kehilangan Ahmad Azza Fahmi.
Sambil melahirkan rasa syukur beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu melancarkan segala urusan keluarganya.
Dalam insiden sekitar jam 2.30 pagi Jumaat itu, dua anggota polis berkenaan maut akibat ditetak dan ditembak oleh seorang lelaki bertopeng.
Selain Ahmad Azza Fahmi, seorang lagi anggota polis yang turut terkorban dalam insiden itu ialah Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said.
