Kastam Perak patah cubaan seludup motosikal, minuman keras lebih RM1.3 juta

Berita Perak

IPOH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak berjaya mematahkam cubaan menyeludup motosikal dan minuman keras dianggarkan bernilai lebih RM1.3 juta termasuk cukai.

Pengarah Kastam Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, kejayaan itu hasil serbuan di sebuah gudang penyimpanan di Nibong Tebal, Pulau Pinang, pada 13 Mei lalu.

Menurutnya, serbuan dilakukan Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Pengkalan Hulu, kira-kira jam 3.30 petang.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan, pasukan berjaya menjumpai 39 unit motosikal berjenama SkyTeam pelbagai model dengan anggaran nilai/duti/cukai berjumlah RM1,001,693.55 yang disyaki belum lulus kastam.

“Hasil pemeriksaan yang sama dilakukan, pasukan telah berjaya menjumpai minuman keras pelbagai jenama dengan anggaran nilai/duti/cukai berjumlah RM356,383.50,” katanya dalam sidang media di Kompleks Penguatkuasaan dan Pematuhan JKDM Perak di Taman Meru 2B, di sini, hari ini.

Menurutnya, premis itu didapati tidak memiliki lesen menjual minuman keras di bawah Akta Eksais 1976.

Abdul Ghafar berkata, dalam serbuan itu, seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, bagi kes yang melibatkan motosikal, disiasat di bawah Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967 manakala kes minuman keras disiasat di bawah Seksyen 32(1) Akta Eksais 1976.

Beliau meminta orang ramai membantu pihak kastam untuk memerangi jenayah penyeludupan, khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.