JTMK terima kunjungan kasih PAKIS, santuni pelajar melalui program iftar

Berita Perak

IPOH: Politeknik Ungku Omar (PUO) melalui Jabatan Teknologi Maklumat & Komunikasi (JTMK) terus memperkukuh hubungan strategik bersama komuniti luar melalui Program Iftar Pertubuhan Amal Kebajikan Insan (PAKIS).

Menurut kenyataan PUO, program yang memasuki tahun ketiga penganjurannya itu menyaksikan agihan juadah berbuka puasa khusus buat para pelajar JTMK PUO.

Dalam majlis ringkas yang penuh ukhuwah tersebut, sebanyak 60 pek makanan dan minuman telah diedarkan kepada para pelajar JTMK PUO.

“Edaran ini bertujuan memastikan pelajar dapat menikmati hidangan berbuka yang sempurna, terutamanya bagimereka yang menetap di asrama mahupun rumah sewa berdekatan,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Jabatan JTMK PUO, Ainie Hayati Noruzman dalam kenyataannya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak PAKIS atas keprihatinan yang ditunjukkan terhadap kebajikan warga pelajar di institusi itu.
 

“Kami di JTMK PUO amat berbesar hati dengan sumbangan 60 pek juadah yang diberikan ini. Inisiatif sebegini bukan sahaja membantu meringankan beban harian pelajar, malah membuktikan bahawa komuniti luar sentiasa bersama kami dalam menyokong kebajikan anak-anak didik di politeknik.

“Ia adalah satu manifestasi murni dalam menyemai semangat kekeluargaan dan kasih sayang di bulan yang penuh keberkatan ini,” katanya.

Ujarnya, sokongan daripada NGO seperti PAKIS adalah selaras dengan aspirasi PUO untuk melahirkan graduan yang holistik dalam ekosistem pendidikan yang inklusif dan prihatin.

 
Program itu merupakan salah satu inisiatif utama PAKIS yang diasaskan oleh Sr Siti Yukarni Jusoh.

Dengan moto “Bersama Memberi, Bersama Diberkati”, pertubuhan yang dianggotai seramai 75 orang ahli itu sentiasa fokus kepada bantuan pendidikan, kecemasan, serta khidmatkomuniti.

 
Sejak ditubuhkan pada 10 Oktober 2021, PAKIS komited memastikan setiap sumbangan yang diterima disalurkan secara telus kepada golongan yang memerlukan, termasuklah sokongan kebajikan kepada institusi pendidikan seperti PUO.

 
Pihak pengurusan PUO berharap agar usaha murni itu menjadi asbab keberkatan yang berpanjangan buat semua pihak yang terlibat.