JIM Perak tahan 16 PATI di enam premis

Berita Perak

MANJUNG: Seramai 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perak dalam operasi bermula Isnin dan berakhir pada Selasa.

Menurut Pengarahnya, Meor Hezbullah Meor Abd Malik, kesemua PATI tersebut ditahan dalam serbuan yang dijalankan Unit Penguatkuasa Pejabat Imigresen Cawangan Lumut di enam premis sekitar Sitiawan, di sini.

Katanya, serbuan dibuat berdasarkan aduan dan hasil pemantauan yang dijalankan.

“Seramai tujuh Pegawai Imigresen terlibat dan dalam serbuah itu 24 orang warga Malaysia dan pelbagai warga asing diperiksa.

“Hasil pemeriksaan dijalankan, 16 orang warga asing ditahan kerana dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Meor Hezbullah menambah, warga asing yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki, lapan perempuan serta seorang kanak-kanak berusia lingkungan tiga hingga 53 tahun.

“Mereka terdiri daripada, dua lelaki dan dua perempuan warga Thailand, tiga perempuan warga Myanmar dan masing-masing seorang lelaki warga India dan warga Bangladesh.

“Turut ditahan tiga lelaki bersama tiga perempuan dan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia,” katanya.

16 orang warga asing tersebut ditahan di Depot Imigresen Lumut, Perak bagi tujuan siasatan lanjut mengikut proses undang-undang di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 di mana mereka didapati masuk dan berada di Malaysia tanpa permit yang sah.

Katanya lagi, ada diantara warga asing turut ditahan di bawah Seksyen15(1)(c) akta yang sama iaitu telah tinggal atau berada di Malaysia selepas tempoh sah permit yang dikeluarkan tamat dan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat permit yang telah dikeluarkan.