TAPAH: Lebih 100 orang penduduk kampung dan penuntut Politeknik Sultan Azlan Shah terkandas apabila jambatan di Sungai Klah dekat Sungkai, runtuh malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 10.46 malam.
Menurutnya, sebaik menerima maklumat itu, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor digerakkan ke lokasi.
“Setiba di lokasi, didapati berlaku kejadian jambatan runtuh di jalan masuk utama ke Hot Spring Felda Sungai Klah, Kampung Tisong dan Buyong Mas Sanctuary Camp Site yang mengakibatkan laluan masuk dan keluar terputus,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, terdapat kira-kira 45 orang yang terdiri daripada 17 keluarga iaitu 39 orang dewasa dan 16 kanak-kanak terkandas di Hot Spring Sg Klah selain terdapat penduduk Kampung Orang Asli Tisong.
Menurutnya, terdapat juga 81 pelajar dari Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang yang berkursus di Buyong Mas Sanctuary Camp Site dan 10 kakitangan kem berkenaan.
Katanya, setakat ini, usaha membawa mangsa dari kawasan berkenaan menggunakan jalan alternatif sedang dijalankan dengan kerjasama beberapa agensi lain.
Antara agensi terlibat ialah Pejabat Daerah Batang Padang, BBP Bidor, Balai Polis Sungkai dan Angkatan Pertahanan Awam Muallim.




