Jabatan Perikanan Perak rampas ikan hiasan larangan bernilai RM13,000

Berita Perak

IPOH: Jabatan Perikanan Perak merampas lebih 150 ekor ikan hiasan larangan dalam serbuan di kedai-kedai akuarium seluruh negeri sejak 18 September lalu.

Exco Pembangungan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, antara spesis ikan yang dirampas dalam operasi pemutihan itu ialah Amazon Redtail, Gulper Catfish, Flower Horn, Aligator Gar dan Arapaima.

Menurutnya, ikan-ikan itu yang bernilai kira-kira RM 13,000 ditempatkan di pusat menyelamat Jabatan Perikanan Perak sebelum dilupuskan.

Operasi pemutihan dan kesedaran ikan larangan di premis, kedai akuarium ikan hiasan di negeri Perak ini merupakan langkah proaktif Jabatan Perikanan Negeri Perak dalam mengawal sebarang aktiviti berkaitan dengan ikan sejajar dengan Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan import dan sebagainya bagi ikan)(Pindaan) 2024.

“Ikan larangan ditakrifkan sebagai spesis bukan asli yang diklasifikasikan berupaya memberi kesan negatif, bahaya kepad habitat atau ekosistem akuatik dan atau memberikan kesan kemudaratan kepada kesihatan dan kebajikan haiwan, termasuk juga nelayan-nelayan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita semasa melakukan pemeriksaan di sebuah kedai akuarium di sini, hari ini.

Menurutnya, di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan import dan sebagainya bagi ikan)(Pindaan) 2024, adalah menjadi kesalahan mengimport, memiliki, menjual, memelihara, atau mempamer ikan-ikan berkenaan.

Mereka yang didapati bersalah menjalankan lima aktiviti itu boleh didenda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali.

Mohd Zolkafly berkata, operasi itu turut memberi penerangan dan kesedaran berterusan berkenaan ikan larangan, bukan sahaja kepada pemain industri, malah turut diperluaskan ke rumah-rumah ibadat.

“Ia antara lain bagi mengekang pembelian ikan larangan dan dilepaskan ke perairan umum untuk tujuan aktiviti keagamaan,” ujarnya.