Hotel pertama di Perak tukar sisa makanan jadi baja

Berita Perak

IPOH: Masalah berkaitan pembuangan sisa makanan yang menyumbang kepada pencemaran alam sekitar turut menjadi kebimbangan pelbagai pihak, termasuk di sektor perhotelan.

Atas dasar itu, Hotel WEIL di Jalan Sultan Idris Shah, di sini mengambil inisiatif untuk menjadi hotel pertama di Negeri Perak dalam mengurus sisa makanan untuk diproses atau dikompos sebagai baja tanaman.

Pengarah Urusannya, Liew Yu-Wei, berkata, langkah yang digerak mulai Februari itu sebagai usaha pihaknya dalam mengurangkan lambakan sisa makanan daripada dihantar ke tapak pelupusan sampah.

Menurutnya, dianggarkan 100 kilogram (kg) sisa makanan sehari akan dikumpul dan diproses melalui mesin memproses baja kompos dari syarikat tempatan, Mentari Alam Eko (M) Sdn Bhd atau MAEKO.

“Setiap tahun dianggarkan 37 tan sisa makanan yang dibuang dari hotel ini kerana tiadanya satu sistem pengurusan sisa makanan yang baik, dan akhirnya ia terus ke tapak pelupusan sampah.

“Oleh itu melalui usaha yang digerakkan ini, ia dianggarkan dapat menghalang 40 tan pelepasan karbon (CO2) yang menyumbang kepada pemanasan global serta perubahan iklim,” katanya dalam Sidang Media Kempen ‘Be An Eco Hero’ di Hotel WEIL, di sini, hari ini.

Yu-Wei berkata, mesin itu juga boleh menghasilkan 20 kg sehari atau 7.3 tan setahun baja tanaman hasil dari sisa organik hotel yang diikompos dengan lebih efisien.

Katanya, selain memberi penjimatan lebih 10 peratus kepada kos pengurusan landskap hotel, baja yang dihasilkan juga dijual kepada orang ramai.

“Kami melabur sekitar RM200,000 untuk pembelian mesin memproses baja kompos itu dan ia bukan satu jumlah yang kecil.

“Bagaimanapun ia merupakan sebahagian komitmen kami melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam usaha memastikan kelestarian alam sekitar terus terjaga,” ujarnya.

Sementara itu, Penolong Projek MAEKO, Fairuzzatulaini Alias berkata, mesin yang dihasilkan melalui tenaga pakar tempatan itu mampu memproses sisa makanan kepada baja kompos dalam tempoh 24 jam.

“Sisa makanan hotel akan dikumpul dan dimasukkan ke dalam mesin untuk diproses dijadikan baja kompos. Melalui teknologi terkini, ia dapat dihasilkan dalam tempoh singkat,” katanya.