Empat kereta musnah terbakar di parkir pusat membeli belah di Ipoh

Berita Perak

IPOH: Empat buah kereta yang diletakkan di parkir sebuah pusat membeli belah di sini musnah dalam kebakaran malam tadi.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, mereka menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 8.37 malam.

Menurutnya, kebakaran melibatkan 4 buah kereta jenis Proton Saga, Toyota Vios, Volvo S80 dan BMW X4 telah musnah terbakar 50 peratus pada bahagian enjin tetapi tidak melibatkan mangsa.

“Ketua operasi melaksanakan sizeup seterusnya mengaplikasikan konsep RECEO dengan mengarahkan anggota membuat kerja-kerja pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula, air tangki jentera dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Menglembu sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, operasi yang membabitkan 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dan dibantu oleh PPS Menglembu tamat sepenuhnya jam 9.54 malam.