Empat ditahan, kes promosi judi dalam talian, ah long di bazar Ramadan selesai

Berita Perak

IPOH: Polis percaya telah berjaya menyelesaikan kes promosi judi dalam talian, ah long di bazar Ramadan Stadium di Ipoh yang tular di media sosial minggu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, selain pasangan suami isteri, polis turut menahan dua lelaki orang kurang upaya (OKU) yang diupah untuk mengedarkan kad promosi.

“Kita telah selesaikan kes tersebut, mula-mula tangkap dua orang suami isteri dan dua orang suspek yang mengedarkan apa ni kad-kad along dan juga judi online kepada orang ramai.

“Kita telah berjaya menangkap mereka semua,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Ipoh di Mes Pegawai Kanan Polis di Ipoh pada Khamis.

Pada Isnin, polis menahan sepasang suami isteri yang disyaki menjadi dalang kegiatan mempromosi pinjaman wang tanpa lesen dan judi dalam talian di Bazar Ramadan Pekarangan Stadium di Ipoh.

Mohd Yusri berkata, suspek lelaki berumur 54 tahun dan isterinya 53 tahun yang merupakan dalang sebenar kes berkenaan, ditahan di Sitiawan, kira-kira jam 12.45 pagi Isnin.

Menurutnya, hasil soal siasat yang dijalankan, suspek lelaki mengaku telah ke bazar tersebut bersama dua lelaki yang diupahnya untuk menyebar dan mempromosi perniagaan pinjaman wang haram.

Kes disiasat di bawah Seksyek 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Dalam perkembangan lain, Mohd Yusri berkata, polis belum mengenal pasti indentiti suspek yang disyaki membaling bom petrol di kedai serbaneka KK Mart di Bidor, minggu lalu.

“Kita masih lagi meneruskan siasatan dan kita masih lagi mengesan suspek yang melakukan kejadian tersebut. Setakat ini kita telah berjaya merakam tujuh percakapan saksi untuk membantu siasatan tersebut,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan pekerja wanita di kedai serbaneka tersebut mendengar bunyi botol pecah di hadapan kedai pada jam 5.35 pagi dalam kejadian 26 Mac lalu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan khianat.

Sementara itu, Mohd Yusri berkata, siasatan kes berkaitan laporan mengenai titah diraja Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang dikatakan mengheret baginda bagi tujuan menghidupkan bara perkauman dan keagamaan, dijalankan oleh Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Menurutnya, ini kerana laporan mengenainya dibuat di Balai Polis Travers, Kuala Lumpur dan
setakat ini tiada sebarang laporan diterima oleh Polis Kontinjen Perak berhubung kes tersebut.

Pada 28 Mac lalu, Pejabat Sultan Perak membuat laporan polis berhubung kenyataan yang ditularkan mengenai sebahagian kecil titah Sultan Nazrin, bagi melindungi nama baik baginda daripada diheret dan dicemari oleh mana-mana pihak.

Kenyataan yang ditularkan itu, memetik titah Sultan Nazrin dengan mesej yang menyeru agar orang Melayu bangkit menegakkan hak ketuanan Melayu.

Majlis serah terima tugas itu di antara Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Ipoh yang baharu menggantikan Asisten Komisioner Yahaya Hassan yang bersara wajib berkuatkuasa esok.