IPOH: Seorang ahli majlis, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengambil inisiatif mengedarkan bendera Negeri Perak sempena sambutan hari keputeraan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang disambut Jumaat ini.
Ketua Whip MBI, Datuk Mazlan Abd Rahmah berkata, beliau mengedarkan 100 bendera kepada peniaga di jalan utama di Pekan Tambun, Taman Perpaduan dan Tanjung Rambutan untuk digantung di premis masing-masing.
Menurutnya, ia adalah sebagai usaha untuk menyemai rasa kasih dan sayang kepada Sultan Perak yang sentiasa prihatin terhadap rakyat negeri ini.
“Jika tahun-tahun lalu, boleh dikatakan hanya bangunan kerajaan sahaja yang mengibarkan bendera negeri, mulai tahun ini, diharapkab premis swasta juga berbuat demikian.
“Ia bagi menunjukkan rasa kasih dan sayang kita sebagai rakyat kepada baginda Sultan,” katanya ketika ditemui selepas mengedarkan bendera Negeri Perak di Tanjung Rambutan, di sini, hari ini.
Mazlan berharap agar lebih banyak pihak tampil untuk melakukan inisiatif yang sama di tahun-tahun akan datang
Bagaimanapun, katanya, adalah lebih baik jika premis swasta itu sendiri yang memasang bendera setiap kali hari keputeraan Sultan Perak yang disambut pada hari Jumaat pertama bulan November.
“Kalau boleh kita mahu melihat premis swasta memasang bendera setiap kali sambutan hari keputeraan Sultan Perak, seperti mereka mengibarkan bender Malaysia (Jalur Gemilang) setiap kali sambutan Hari Kebangsaan,” ujarnya.
Beliau turut berharap agar lebih banyak pihak tampil mengambil inisiatif untuk menyemai rasa kasih dan sayang kepada Sultan.





