KUALA KANGSAR: Dua lelaki maut setelah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka merempuh bahagian belakang sebuah lori muatan baja di kilometer (km) 253 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah selatan di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa iaitu pemandu serta penumpang, masing-masing berusia 22 dan 25 tahun tersepit dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya lagi, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.51 pagi, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dengan bantuan Kuala Kangsar ke lokasi.
“Berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta jenis pacuan empat roda jenis Ford merempuh bahagian belakang sebuah lori Hino 5 tan.
“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati terdapat dua orang mangsa lelaki dari pacuan empat roda itu telah tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia yang hadir,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Justeru katanya, bomba menggunakan peralatan khas bagi membuat potongan pada bahagian kenderaan terbabit.
Mangsa kemudiannya dibawa keluar dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.



