Dua keluarga mangsa kebakaran Kampung Kepayang terima bantuan RM3,000

Berita Perak

IPOH: Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang menyalurkan bantuan RM3,000.00 kepada dua buah keluarga yang terjejas akibat kebakaran yang berlaku di Kampung Kepayang, Fairpark baru-baru ini.

Sumbangan disampaikan wakil pusat khidmat berkenaan, Wong Kar Keat yang juga Setiausaha Politik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming merangkap ADUN Kepayang, hari ini.

Wong berkata, pada petang hari kejadian, beliau menerima panggilan daripada ketua kampung yang memaklumkan tentang kebakaran serius sedang berlaku di kampung tersebut.

“Saya bergegas ke lokasi kejadian untuk meninjau keadaan serta berbincang dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi menyediakan tempat penginapan sementara serta bantuan makanan kepada mangsa yang terjejas,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU) juga telah turun padang dan menyalurkan bantuan kepada mangsa.

Katanya, walaupun jumlah bantuan itu tidak dapat menampung sepenuhnya kerugian yang dialami, namun sekurang-kurangnya ia dapat membantu meringankan beban mangsa serta memberi sedikit kelegaan dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang.

“Ini juga membuktikan bahawa Pusat Khidmat ADUN, pihak swasta serta agensi berkaitan sentiasa bersama rakyat, khususnya ketika mereka berdepan saat-saat sukar, dengan menyalurkan bantuan dan sokongan sewajarnya,” ujarnya.

Pada Selasa, dua buah rumah berkembar kelas B musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Kepayang, Fair Park.

Turut musnah sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora, sebuah kereta jenis Perodua Kancil dan lima buah motosikal.