Dua beranak rentung: Lori pasir langgar belakang lori lain berhenti di lorong kecemasan

Berita Perak

TAPAH: Kemalangan dua buah lori yang menyebabkan dua beranak rentung di sini pagi tadi dipercayai akibat lori muatan pasir yang melanggar bahagian belakang lori kontena muatan span.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Superintenden, Mohd Fadzil Ismail dalam kenyataan pada Selasa berkata, kejadian berlaku di kilometer (km) 332.4 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara.

Katanya, siasatan awal mendapati lori muatan pasir yang dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun serta kelindan, lelaki 23 tahun melanggar belakang lori muatan span yang berhenti di lorong kecemasan dekat susur masuk hentian Rehat dan Rawat (R&R).

Tambah Mohd Fadzil, kedua-dua mangsa dari lori muatan pasir maut di lokasi kejadian manakala pemandu lori kontena berusia 43 tahun tidak mengalami kecederaan.

Sehubungan itu, katanya kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah, Mohd Zulhafiz Zainuddin di talian 017-4006662.

Terdahulu, media melaporkan dua beranak rentung dalam kemalangan membabitkan dua treler di KM 331.8 Lebuh Raya Utara Selatan, dekat sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa yang maut merupakan pemandu dan kelindan treler muatan pasir.