DPPM Perak sokong ketegasan Malaysia kutuk tindakan ketenteraan terhadap Iran

Berita Perak

IPOH: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak menyokong penuh ketegasan Malaysia mengutuk keras tindakan ketenteraan yang dilancarkan Israel dan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran.

Yang Dipertua DPPM Perak, Amirudin Tajudin berkata, pihaknya juga bersetuju agar tindakan ketenteraan dihentikan segera kerana berisiko mencetuskan konflik lebih luas di Timur Tengah.

Menurutnya, penggunaan kekerasan tanpa mandat kolektif antarabangsa melanggar prinsip asas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya Perkara 2(4) yang melarang ancaman atau penggunaan kekuatan terhadap integriti wilayah sesebuah negara.

Sehubungan itu, DPPM Perak menyeru agar semua pihak terlibat kembali ke meja rundingan tanpa prasyarat serta menegaskan komitmen antarabangsa terhadap kedaulatan, undang-undang dan penyelesaian konflik secara diplomatik.

“Keamanan yang adil tidak lahir daripada dominasi ketenteraan sebaliknya hanya dapat dicapai melalui keadilan, penghormatan terhadap kedaulatan serta kesediaan untuk berunding secara bermaruah,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau mengulas kenyataan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan tindakan ketenteraan itu sebagai perbuatan biadab, melanggar prinsip Piagam PBB serta bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.

Terdahulu, Perdana Menteri berkata, tindakan ketenteraan berterusan ke atas negara berdaulat berisiko mencetuskan eskalasi lebih besar dan menggugat kestabilan serantau, sekali gus mengheret lebih banyak negara ke dalam kancah peperangan.

“Sebagai sebuah negara bebas dan berdaulat, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang dimulakan oleh Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran.

“Tindakan ini jelas bertentangan dengan prinsip dunia serta ketetapan undang-undang antarabangsa,” katanya ketika membentangkan usul khas mengutuk serangan biadab dan ganas Israel dengan sokongan AS terhadap Iran di Dewan Rakyat pada Isnin.