Desakan tolak peranan Perdana Menteri dalam pelantikan kehakiman bertentangan Perlembagaan

Berita Perak

IPOH: Desakan agar Perdana Menteri tidak terlibat dalam proses pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan adalah tidak benar dan bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kampar, Baldip Singh berkata, perkara itu boleh disifatkan sebagai satu bentuk spekulasi tidak berasas yang perlu ditepis segera oleh rakyat yang memahami undang-undang tertinggi negara ini.

Menurutnya, berdasarkan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri memang berperanan secara langsung dalam proses pelantikan hakim-hakim tertinggi.

“Beliau bertindak memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

“Jadi jika timbul spekulasi mengatakan Perdana Menteri tidak harusnya terlibat, itu sama sekali tidak tepat dan perlu diperbetulkan,” katanya dalam satu sidang media di Pejabat PKR Perak di sini, hari ini.

Hafir sama, Ketua Cabang Sungai Siput, K Novinthen; Ketua Cabang Larut, Mohd Fairuz Mohd Saari; dan Timbalan Ketua Cabang Ipoh Barat, SK Ramesh.

Sebagai seorang Peguam, Baldip meminta semua pihak tidak mempertikaikan kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk peranan Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

“Ini adalah undang-undang tertinggi negara. Bila kita soal atau ragui peruntukan ini, bermakna kita mempertikaikan asas sistem pemerintahan kita sendiri,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau menyangkal dakwaan bahawa negara kini berdepan krisis perlembagaan berikutan kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

Katanya, krisis hanya berlaku apabila institusi kehakiman lumpuh, kes-kes tidak dapat didengar dan rakyat dinafikan keadilan.

“Dalam kes ini, mesyuarat Majlis Raja-Raja sudah dijadualkan akan berlangsung dari 15 hingga 17 Julai ini, maka tiada krisis sebenarnya,” ujarnya.