Deepavali: Pemuda MIC Perak kongsi kegembiraan di Rumah Amal Pertubuhan Kebajikan Insan Kanak-Kanak Arut Perum Jothy

Berita Perak

IPOH: Perayaan Deepavali yang akan disambut esok oleh penganut Hindu, pastinya dinanti-nantikan untuk diraikan bersama-sama kaum keluarga dan kenalan.

Namun tidak semua bernasib baik untuk menyambutnya bersama ahli keluarga, khususnya anak-anak yang sudah kehilangan kasih sayang ibu bapa.

Kehadiran Pemuda MIC Perak ke Rumah Amal Pertubuhan Kebajikan Insan Kanak-Kanak Arut Perum Jothy, Buntong, di sini sedikit sebanyak menceriakan hari mereka.

Menurut Ketua Pemudanya, Theeageesh Ganesan, dia hadir bersama Jawatankuasa Pemuda Mic Perak bagi berkongsi kegembiraan dan menghulurkan sumbangan sempena Deepavali.

“Saya bersama Jawatankuasa Pemuda Mic Perak hari ini berkunjung ke rumah amal ini bagi meraikan kanak-kanak di sini sempena Deepavali, sekali gus memberi keceriaan kepada mereka.

“Kami mahu berkongsi kemeriahan perayaan Deepavali dengan hidangan juadah perayaan serta menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak di sini.

“Selain itu, sumbangan bantuan barangan keperluan dapur kepada rumah amal ini, semoga ia dapat memberi semangat dan keceriaan kepada mereka yang terlibat untuk sambut Deepavali,” katanya.

Dalam kunjungan itu, Theeageesh turut beramah mesra bersama kanak-kanak dan penjaga di rumah amal berkenaan.