IPOH: Polis berjaya merampas dadah seberat 385 kilogram selepas mengejar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sejauh dua kilometer di Lebuhraya Utara Selatan, dekat Slim River, pada Isnin.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, rampasan bernilai hampir RM13 juta itu adalah yang terbesar di Perak setakat ini.
Menurutnya, kira-kira jam 1.30 petang, sepasukan polis peronda lebuhraya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman telah mengesan kenderaan jenis Honda Stream dalam keadaan mencurigakan di Kilometer 375 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan dan memintanya berhenti.
Katanya, suspek cuba melarikan diri dengan memecut kenderaan sejauh lebih kurang dua kilogram.
“Kenderaan tersebut kemudiannya berhenti dan dua suspek terus melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.
“Pemeriksaan yang dijalankan terhadap kenderaan tersebut telah menjumpai 15 guni yang mengandungi dadah disyaki jenis methamphetamine dengan anggaran berat 374 kilogram, satu bungkusan plastik berwarna hitam mengandungi dadah disyaki jenis heroin base dengan anggaran berat 11.28 kilogram,” katanya dalam sidang media di pekarang Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.
Beliau berkata, dadah yang dirampas disyaki untuk edaran di Lembah Kelang yang boleh digunakan oleh hampir empat juta penagih.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis sedang memperhebatkan operasi untuk mengesan dua suspek yang melarikan diri.
Noor Hisam berkata, siasatan mendapati kenderaan MPV yang digunakan telah didaftarkan atas nama seorang wanita dan polis akan memanggil wanita berkenaan untuk membantu siasatan.


