Cadang kad perubatan nasional RM20 sebulan untuk akses kesihatan universal

Berita Perak

IPOH: Ketua Pemuda UMNO Gopeng, Al Yashir Yahaya, menggesa agar kerajaan memperkenalkan sistem penjagaan kesihatan universal ala National Health Service (NHS) di Malaysia sebagai langkah mengurangkan kebergantungan rakyat kepada insurans kesihatan swasta yang semakin mahal.

Beliau mencadangkan kerajaan memperkenalkan satu kad perubatan nasional yang boleh digunakan oleh semua rakyat Malaysia untuk mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kerajaan.

Menurutnya, sebagai permulaan, rakyat hanya perlu membayar RM20 sebulan, membolehkan mereka mengakses rawatan asas tanpa perlu bergantung kepada insurans swasta yang semakin membebankan.

Untuk memastikan keberkesanan sistem ini sebelum dilaksanakan secara menyeluruh, Al Yashir mencadangkan ujian perintis dijalankan di beberapa bandar utama seperti Ipoh, Johor Bahru, dan Kota Kinabalu.

“Bandar-bandar ini dipilih kerana kepadatan penduduk serta kepelbagaian ekonomi yang dapat memberi gambaran sebenar terhadap keberkesanan sistem tersebut.

“Jika program ini berjaya di bandar-bandar terpilih, kita boleh memperluaskannya ke seluruh negara secara berperingkat.

“Ini akan memberi masa kepada kerajaan untuk mengenal pasti cabaran serta menambah baik sistem sebelum pelaksanaan penuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Al Yashir, kenaikan mendadak kos insurans swasta menyebabkan ramai rakyat, terutamanya golongan berpendapatan sederhana dan rendah, sukar mendapatkan rawatan yang berkualiti.

“Kos perubatan meningkat setiap tahun, begitu juga dengan premium insurans.

“Ramai yang akhirnya terpaksa memilih antara membayar insurans atau memenuhi keperluan asas keluarga. Ini tidak seharusnya berlaku,” ujarnya.

Beliau turut menekankan kepentingan hubungan yang lebih erat antara kerajaan dan hospital swasta bagi memastikan sistem penjagaan kesihatan negara berjalan dengan lebih lancar.

Justeru, Al Yashir mencadangkan supaya hospital swasta turut menerima pesakit yang menggunakan kad perubatan nasional ini, terutama bagi rawatan tertentu yang mungkin tidak dapat ditampung oleh hospital kerajaan.

“Sebagai balasan, kerajaan boleh menawarkan insentif cukai atau subsidi kepada hospital swasta yang mengambil bahagian dalam program ini.

“Kita tidak boleh melihat sektor swasta sebagai pesaing dalam bidang kesihatan.

“Sebaliknya, perlu ada kerjasama antara kerajaan dan hospital swasta supaya rakyat mendapat rawatan terbaik tanpa mengira status kewangan mereka,” tambahnya.

Ketua Pemuda UMNO Gopeng itu turut menggesa kerajaan meningkatkan peruntukan sektor kesihatan agar hospital dan klinik kerajaan dapat menampung lebih ramai pesakit.

Katanya, pelaburan dalam kesihatan rakyat bukan hanya membantu meringankan beban kewangan rakyat, tetapi juga memastikan tenaga kerja negara kekal sihat dan produktif.