Bunyi letupan, gegaran gemparkan penduduk Ipoh, ramai masih berteka-teki

Berita Perak

IPOH: Bunyi letupan dan gegaran sekitar jam 11 pagi pada Isnin di sekitar Ipoh sedikit sebanyak menggemparkan penduduk dan mencetuskan panik.

Malah, sehingga kini masih ramai yang berteka-teki apa yang berlaku sehingga menyebabkan bunyi kuat beserta gegaran itu.

Azian Zakaria dari Ulu Kinta berkata, sepanjang 15 tahun dia menetap di kawasan tersebut, itu merupakan kali pertama dia mendengar bunyi letupan seumpama itu.

Bukan hanya dia, namun bunyi tersebut turut didengari oleh suami dan anaknya yang ketika itu berada di rumah.

“Tadi saya bersiap-siap hendak keluar dalam jam 11.30 pagi, tiba-tiba dengar macam bunyi dentuman kuat.

“Bunyi ‘dum’ sekali, saya fikir mungkin ada orang sedang buat kerja di kawasan rumah dekat sini, atau kemalangan di depan rumah, tetapi bila saya lihat tiada apa yang berlaku.

“Ini kali pertama saya dengar bunyi seumpama itu sepanjang saya menetap di sini, kalau boleh kita mahu tahu apa sebenarnya yang berlaku sehingga menyebabkan bunyi kuat seperti itu,” katanya ketika ditemui pada Isnin.

Sementara itu, Rayhana Mohamad Abas yang sudah menetap di Meru selama tujuh tahun mendakwa, dentuman dari bunyi tersebut turut menyebabkan rumahnya bergegar.

“Ketika itu saya ada di rumah, memang dengar satu dentuman yang agak kuat hinggakan rumah saya bergegar dan memang rasa ketika ia berlaku, memang agak panik bila jadi begitu.

“Saya bertanyakan pada suami hal sama, kami berfikirkan positif dan fikir mungkin bunyi kuat itu datang dari kuari atau sebagainya,” katanya.

Terdahulu, Polis Perak mengesahkan kejadian bunyi letupan dan gegaran yang berlaku di sekitar Ipoh pada Isnin itu tiada kaitan dengan aktiviti kuari atau latihan letupan.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, pihaknya sedang menyiasat insiden tersebut dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk menghubungi Pusat Kawalan Kontinjen Perak di talian 05-2451119 atau 05-2451073.