Beli barang lain, baru beli minyak masak peket

Berita Perak

PARIT BUNTAR: Sebuah kedai runcit di pekan Alor Pongsu dekat sini dikenakan tindakan setelah mengenakan syarat ke atas pembelian minyak masak peket 1 kilogram (kg).

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan di kedai itu dilakukan setelah KPDN cawangan Parit Buntar menerima aduan dari orang ramai.

Katanya, pemeriksaan dan uji beli menerusi Ops Samar dilakukan di kedai tersebut pada Jumaat kira-kira jam 10.30 pagi.

“Dakwaan pengadu berasas apabila kami mendapati peniaga telah mengenakan syarat pembelian dengan membeli barangan lain terlebih dahulu untuk mendapatkan minyak masak peket 1kg.

“Susulan kenyataan tersebut, penguat kuasa beruniform telah masuk ke dalam premis dan melakukan pemeriksaan menyeluruh.

“Pemeriksaan di ruangan simpanan dan rak jualan mendapati sebanyak 164 kg minyak masak peket berada dalam simpanan premis,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ujarnya lagi, satu arahan pengisytiharan stok di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 diberikan kepada penyelia premis.

Selain itu, sebanyak 164kg minyak masak peket yang ditemui disita untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM410.

Justeru katanya, kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“KPDN ingin memberikan amaran dan menegaskan tidak akan berkompromi dengan pihak yang didapati terlibat dalam aktiviti atau sindiket penyalahgunaan barang kawalan seperti minyak masak peket.

“Di samping akan memastikan tindakan lebih tegas termasuklah pendakwaan di mahkamah,” katanya lagi.