Ahli Parlimen Kampar gesa tempoh menunggu pemeriksaan kolonoskopi dipendekkan

Berita Perak

IPOH: Seorang penduduk Kampar yang mengalami penurunan berat badan mendadak serta najis berdarah terpaksa menunggu kira kira tiga bulan untuk menjalani pemeriksaan kolonoskopi, sebelum akhirnya disahkan menghidap kanser usus tahap empat.

Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin berkata, kes itu menunjukkan masih terdapat ruang penambahbaikan dalam sistem kesihatan awam khususnya berkaitan tempoh menunggu bagi pemeriksaan kritikal kanser.

Menurutnya, penduduk tersebut, Zarul Azham, 44, telah mendapatkan rawatan di Hospital Kampar pada Januari selepas mengalami penurunan berat badan yang berterusan serta najis berdarah.

“Doktor ketika itu mengesyaki masalah pada usus dan menjadualkan beliau menjalani pemeriksaan kolonoskopi (scoping) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada bulan April,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Chong, selepas melihat surat rujukan doktor tersebut, beliau merasakan keadaan itu tidak wajar ditangguhkan.

“Dengan persetujuan keluarga pesakit, saya segera membantu mengatur pemeriksaan lanjut di Hospital Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Kampar serta secara peribadi membawa Zarul ke hospital untuk mendapatkan diagnosis lanjut,” ujarnya.

Beliau juga memberi jaminan akan membantu menanggung kos perubatan yang terlibat.

Chong berkata, ketika melawat Zarul di hospital, pesakit tersebut berkali kali menggenggam tangan mereka untuk menyampaikan penghargaan.

Menurutnya, Zarul dilihat sangat terharu sehingga menitiskan air mata sambil berulang kali mengucapkan terima kasih sehingga menyentuh hati semua yang berada di situ.

Namun, kata Chong, pada keesokan harinya, laporan pemeriksaan mengesahkan lelaki tersebut menghidap kanser usus tahap empat dan sel kanser telah merebak, menjadikan keadaannya amat membimbangkan.

Jelasnya, Zarul adalah penerima bantuan eKasih daripada keluarga berpendapatan rendah dan isterinya bekerja di sebuah restoran bagi menyara keluarga dan mereka mempunyai tiga orang anak.

“Keadaan ekonomi keluarga yang sedia mencabar kini menjadi lebih berat apabila ketua keluarga disahkan menghidap penyakit serius,” tambahnya.

Beliau berkata kes itu menimbulkan persoalan penting yang perlu diberi perhatian pihak berkuasa iaitu mengapa seorang pesakit yang disyaki menghidap kanser perlu menunggu sehingga tiga bulan untuk menjalani pemeriksaan penting seperti kolonoskopi.

“Kanser usus adalah antara kanser yang boleh dirawat dengan lebih berkesan jika dikesan awal. Jika pesakit perlu menunggu berbulan bulan untuk menjalani pemeriksaan penting, mereka mungkin terlepas tempoh emas untuk rawatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya meneliti semula sistem saringan dan rujukan kanser serta mengambil langkah untuk menambah peralatan dan tenaga kerja bagi pemeriksaan kolonoskopi di hospital kerajaan supaya tempoh menunggu dapat dipendekkan.

Beliau turut mencadangkan agar mekanisme rujukan pantas diwujudkan bagi kes yang disyaki kanser supaya pesakit dapat menjalani pemeriksaan penting dalam tempoh yang lebih singkat.

Selain itu, katanya, kerajaan juga boleh mempertimbangkan kerjasama dengan hospital universiti dan hospital swasta bagi membantu mengurangkan kesesakan dalam sistem kesihatan awam.