KAMUNTING: Sebanyak 605 minyak masak peket disita di sebuah premis dekat 2, Lorong IKA, Industri Kamunting Aman, di sini kerana didapati memiliki bahan itu melebihi had lesen.
Selain itu, minyak masak peket 1 kilogram (kg) itu juga dipercayai digunakan untuk memasak makanan bagi pekerja warga asing, yang turut dikendalikan oleh mereka.
Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail, operasi pada Khamis itu mendapati minyak masak peket 1kg dijumpai di dalam empat buah tong ais dan bakul raga serta disimpan di ruang bahagian belakang premis yang merupakan dapur memasak.
“Sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa, KPDN Negeri Perak, Cawangan Taiping telah menjalankan Ops Tiris di premis tersebut.
“Kesemua minyak masak peket 1kg tersebut disyaki digunakan sebagai bahan memasak makanan bagi pekerja warga asing.
“Ia juga dikendalikan oleh warga asing dan siasatan mendapati makanan itu turut dijual kepada warga asing.
“Pemeriksaan lanjut mendapati bahawa pemilik premis, seorang wanita warga tempatan berusia sekitar 36 tahun memiliki minyak masak 1kg melebihi had lesen yang dibenarkan oleh pengawal,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau menambah, jumlah nilai sitaan itu dianggarkan RM1,512.50.
Katanya, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana memiliki barang kawalan melebihi had yang dinyatakan dalam lesen.
Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkenaan ke mana-mana cawangan KPDN berdekatan untuk bersama-sama membanteras aktiviti ini daripada terus berlaku dan dapat mengelakkan berlakunya ketirisan subsidi Kerajaan melalui saluran-saluran seperti berikut:
i) Aplikasi WhatsApp KPDN di talian 019-848 8000
ii) Portal e-aduan KPDN (https://eaduan.kpdn.gov.my);
iii) Call centre 1 800 886 800




