LENGGONG: Seramai 600 pelajar daripada 15 buah sekolah di Hulu Perak menyertai program Jelajah AIM TVET Bersama Cikgu Saarani di Dewan Bestari Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad, Lenggong, baru-baru ini.
Turut diadakan penutup Program Moh Sukses SPM 2025 yang disempurnakan Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Mohamad Hamidi Baharuddin yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Mohamad Hamidi berkata, program itu membuka ruang buat pelajar dan belia luar bandar mengenali potensi diri melalui bidang kemahiran serta peluang pendidikan TVET, satu laluan kerjaya yang semakin penting dan diiktiraf dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.
“Inisiatif seperti ini memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan negeri Perak di bawah pimpinan Datuk Seri Saarani dalam melahirkan generasi muda yang berdaya saing, berilmu dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras Program, Dr Shanmuga Velu Subramanian berkata, program itu yang melibatkan pelbagai jabatan dan agensi adalah penganjuran tahun keenam.
“Program Moh Sukses ini adalah untuk memberi bimbingan tuisyen kepada para pelajar, khususnya dari luar bandar yang datang dari kumpulan B40,” katanya.
Menurutnya, sepanjang menganjurkan program di Hulu Perak, mereka mendapati pendedahan mengenai TVET kepada para pelajar amat diperlukan.
“Oleh sebab itu kami telah menyarankan pandangan ini kepada YAB Datuk Seri Saarani dan beliau bersetuju untuk mengadakan karnival ini,” ujarnya.
Katanya, karnival itu turut disertai pelajar dari kalangan pelajar tahfiz dan golongan etnik Orang Asli.
“Tujuan utama program ini ialah untuk memberi pendedahan tentang TVET yang menjamin masa depan mereka supaya mereka tidak berputus asa walaupun mendapat keputusan yang kurang cemerlang dalam peperiksaan SPM,” tambahnya.
Dr Shanmuga Velu yakin, karnival itu telah memberi impak dalam kalangan pelajar yang mengambil bahagian supaya menyertai bidang TVET selepas tamat persekolahan kelak.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Besar di atas kepercayaan yang diberikan untuk menganjurkan program itu, bagi memberi manfaat kepada anak-anak di daerah Hulu Perak.
Bagaimanapun, sebagai perancangan mereka berazam untuk melaksanakan program berkenaan dengan lebih baik.
Dalam masa sama, katanya, sekiranya Menteri Besar bersetuju, mereka bersetuju untuk mengadakan program seumpama itu di daerah-daerah lain.










