BATU GAJAH: Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar menghulurkan sumbangan RM200,000 kepada 40 buah surau dan masjid di dalam kawasan parlimen berkenaan.
Sivakumar berkata, setiap surau dan masjid menerima sumbangan RM5,000.
Menurutnya, jika diizinkan, beliau mahu meneruskan pemberian sumbangan itu di tahun-tahun akan datang.
“Bulan Ramadan adalah bulan mulia, bukan sahaja untuk umat Islam tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia kerana Ramadan mengajar kita erti sabar dan membantu orang yang memerlukan,” katanya ketika berucap di majlis itu di Dewan Bandaran Batu Gajah hari ini.
Hadir sama Orang Besar Jajahan (OBJ) Kinta, Datuk Ab. Wahab Datuk Seri Azizul Hassan dan Pegawai Daerah Kinta, Zulhisham Ahmad Shukori.
Ketika ditemui pemberita, Sivakumar menceritakan beliau mula memberi sumbangan kepada masjid dan surau sejak 2008.
“Bagaimanapun ketika itu saya tiada dana kerana menjadi pembangkang dan hanya mampu memberi sumbangan antara RM300 hingga RM500 sahaja.
“Saya bersyukur kerana pihak surau dan masjid tetap berpuas hati kerana faham keadaan saya ketika itu,” ujarnya.
Menurutnya, beliau mula memberi sumbangan RM5,000 sejak 2023 kepada 30 surau dan masjid apabila menjadi Ahli Parlimen kerajaan.
“Tahun ini bilangan meningkat kepada 50 kerana ada jabatan dan agensi kerajaan yang mempunyai surau sendiri turut memohon sumbangan,” jelasnya.





