1,000 siri jualan ikan murah sepanjang tahun di Perak

Berita Perak

IPOH: Perak akan melaksanakan 1,000 siri Jualan Sejahtera Rakyat Ikan Murah anjuran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di seluruh negeri Perak sepanjang tahun 2026.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, harga jualan pula jauh lebih murah berbanding harga pasaran antara 20 hingga 40 peratus.

Menurutnya, program ini akan dilaksanakan di lima lokasi tapak kekal di setiap daerah selain jualan di bawah khemah menggunakan motosikal roda tiga serta lori bergerak dengan kekerapan tiga kali seminggu di lokasi-lokasi yang terpilih.

“Pelbagai spesies ikan akan ditawarkan berdasarkan permintaan setempat dengan harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran semasa, sekaligus membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat bagi menghadapi Tahun Baharu Cina, bulan Ramadan, Hari Raya Aidilfitri serta perayaan-perayaan yang lain.

“Bukan saja bergantung pada hari perayaan, tetapi sepanjang tahun, sepanjang minggu, sepanjang bulan, kita akan mengadakan Jualan Sejahtera Rakyat Ikan Murah LKIM ini,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Mohd Zolkafly berkata, program itu yang akan diadakan di semua 12 daerah di Perak itu adalah antara inisiatif berterusan kerajaan bagi membantu rakyat mendapat bekalan ikan pada harga yang lebih berpatutan.

Menurutnya, pihak LKIM telah mengenal pasti tapak-tapak yang sesuai, yang tidak menjejaskan tapak perniagaan sedia ada.

Katanya, program itu akan diadakan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan antara tapak lokasi yang dicadangkan ialah masjid.

Menurutnya, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai lokasi program dengan melayari Facebook rasmi LKIM Perak.