Zamakhshari dilantik Datuk Bandar Ipoh yang baharu

Berita Perak

IPOH: Bekas Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan & Persediaan Bencana) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dilantik sebagai Datuk Bandar Ipoh yang baharu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad telah menyerahkan watikah pelantikan kepada Zamakhshari di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

“Pagi ini saya telah menyerahkan watikah pelantikan kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Ipoh yang baharu, Zamakhshari Hanipah.

“Zamakhshari merupakan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan & Persediaan Bencana) NADMA di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini,” kata Saarani dalam hantaran di Facebook miliknya.

Menurutnya, antara jawatan tertinggi lain pernah digalas ialah Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Terengganu & Selangor.

Di samping itu, katanya, Zamakhshari juga pernah bertugas sebagai Pegawai Daerah Hulu Perak, Gerik merangkap Yang DiPertua Majlis Daerah Gerik serta Penolong Pengarah MKN Negeri Perak.

“Pengalamannya yang luas dalam sektor pentadbiran kerajaan memberikan kelebihan besar dalam menerajui Majlis Bandaraya Ipoh ke arah tadbir urus yang lebih cekap dan berkesan,” ujarnya.

Saarani yakin dengan kepimpinan Datuk Bandar baharu itu, aspirasi menjadikan Ipoh sebagai bandar pintar dan mampan akan dapat direalisasikan dengan lebih menyeluruh.

“Selamat menjalankan amanah, Zamakhshari, semoga terus cemerlang dalam menyampaikan perkhidmatan untuk warga Ipoh,” katanya.

Zamakshari menggantikan Datuk Rumaizi Baharin yang tamat kontrak perkhidmatan pada hujung Mac.