Warga Ipoh rai sambutan merdeka ke 68 penuh nostalgia

Berita Perak

IPOH: Warga Ipoh menyambut ketibaan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia kali ke-68 dengan penuh nostalgia apabila berpeluang melalui laluan warisan hari ini.

Laluan menaiki bas hop on hop off sekitar 10 kilometer bermula dari Little India di Pekan Lama melalui Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, Medan Kidd, Buntong dan berpatah balik ke Little India.

Turut memeriahkan lagi aktiviti ialah dengan kehadiran Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat.

Hadir sama ahli perniagaan tempatan, Datuk Amaluddin Mohamed Ismail dan Pengarah Urusan Perak Transit Berhad, Datuk Seri Cheong Kong Fitt.

Aktiviti bermula dengan pengedaran Jalur Gemilang di Pekan Lama dan Buntong kepada orang ramai dan peniaga.

Kulasegaran berkata, aktiviti itu antara lain memberi peluang kepada warga Ipoh untuk menaiki bas hop oh hop off secara percuma hari ini.

“Perak adalah antara negeri yang menerima ramai pelancong dan dengan adanya aktiviti seperti ini akan menarik lebih ramai pengunjung ke negeri ini,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan hari ini.

Beliau merakamkan terima kasih kepada pelbagai pihak yang membantu menjayakan program tersebut.

Dalam masa sama, Kulasegaran mencadangkan agar kerajaan negeri menimbangkan semua subsidi kepada pengusaha bas hop on hop off untuk menampung kos mereka.

“Dulu mereka dapat (bantuan kewangan) tetapi ia telah diberhentikan dua tahun lalu,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap Menteri Besar dan exco yang berkenaan dapat memberi perhatian kepada isu ini supaya ada aktiviti (pelancongan) yang turut merancakkan aktiviti ekonomi lain.