Warga emas OKU cedera jatuh perigi buta

Berita Perak

IPOH: Seorang wanita warga emas orang kurang upaya (OKU) mental cedera setelah terjatuh ke dalam perigi buta di belakang rumahnya dekat Tanjung Rambutan, di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kejadian berlaku sekitar jam 8.40 pagi.

Katanya lagi, mangsa jatuh di dalam perigi yang dianggarkan berkedalaman tiga meter.

“Seorang mangsa wanita dilaporkan telah terjatuh ke dalam perigi buta di belakang rumahnya.

“Mangsa OKU mental terjatuh ke dalam sebuah perigi buta yang dianggarkan berkedalaman 3 meter dan mempunyai diameter selebar 1 meter,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Jelasnya lagi, bomba kemudiannya turun ke dalam perigi untuk membantu mangsa keluar.

Mangsa kemudiannya dipakaikan harness dan diikat pada stretcher.

“Anggota yang berada di atas kemudiannya menarik keluar mangsa dari perigi. Mangsa kemudiannya diserahkan pada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dihantar ke hospital dengan menggunakan ambulans untuk menerima rawatan lanjut,” katanya lagi.