BERUAS: Cubaan seorang warga emas lelaki untuk terjun dari bumbung rumahnya berjaya dihalang oleh pasukan bomba dalam kejadian yang berlaku di Pantai Remis, di sini awal pagi tadi.
Difahamkan lelaki berusia dalam lingkungan 60-an itu mengalami masalah gangguan mental.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kejadian berlaku sekitar jam 3.30 pagi tadi dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis ke lokasi.
“Pihak kami menerima panggilan dari pihak polis yang mengatakan seorang lelaki cuba untuk membunuh diri dengan terjun dari bumbung rumah.
“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati mangsa masih berada di atas bumbung rumahnya dan sedang dipujuk untuk turun.
“Anggota bomba kemudiannya membantu memujuk mangsa sehingga dia turun dengan selamat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang membabitkan seramai enam orang anggota bomba itu tamat jam 3.55 pagi.



