IPOH: Seorang jurujual kedai aksesori telefon mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan menjual kelengkapan komunikasi kotak android (android box), tahun lalu.
Tertuduh, Lau Xiao Tong, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim, Norita Mohd Ardani.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa menjual seunit kelengkapan komunikasi ‘android box’ jenama SVI 8S SN: 61604230804963 di lokasi kedai aksesori telefon di Jalan Bercham, Medan Bercham Selatan 1, di sini kira-kira 1.10 tengah hari 18 Oktober 2023.
Pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 43AA (1)(c) Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 yang boleh dihukum bawah Seksyen 43AA (2) Akta sama; yang memperuntukkan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM200,000 bagi setiap perekaan yang berkenaan dengannya, atau penjara maksimum 20 tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Haiqal Ashraf Suhaimi manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Dayang Nor Emilia Azman Shah.
Haiqal Ashraf menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, Dayang Nor Emilia memohon agar tertuduh dikenakan jaminan minima, mengambil kira tertuduh bekerja sebagai jurujual kedai aksesori tempat dia melakukan kesalahan itu dengan pendapatan RM1,600 sebulan, selain memohon tarikh esok (28 Februari) untuk sebutan semula kes.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin sebagaimana yang dipohon oleh pihak pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan esok, 28 Februari untuk sebutan semula kes.