Wanita sunyi punca mudah terjerat ‘love scam’

Berita Perak

IPOH: Meskipun banyak laporan mendedahkan individu terjerat ‘love scam’, namun masih ramai golongan wanita yang termakan dengan pujuk rayu scammer.

Demikian pendedahan Pegawai Unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak, Asisten Superintendan Mohamad Mahathir Abdullah Sapawi, sambil menambah wanita berusia 40 tahun ke atas cenderung terjerat dengan kes penipuan itu.

“Mangsa ‘love scam’ biasanya terdiri daripada golongan wanita berusia 40 tahun ke atas kerana rata-rata mereka di usia begini mempunyai wang.

“Bukan itu sahaja, wanita yang menjadi mangsa terdiri daripada golongan profesional seperti doktor, pensyarah dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah Kesedaran Jenayah Komersial Selamatkan Wanita dari Love Scammer di sini pada Khamis.

Program tersebut dianjurkan oleh Wanita Ikon Perak, Tina Tajuddin yang turut berkongsi nasihat dan pengetahuan kepada mereka yang terbabit.

Ujar Mohamad Mahathir lagi, mangsa akan berkenalan dengan suspek melalui media sosial dan menyamar sebagai juruterbang, peniaga, tentera atau jurutera minyak dan gas.

“Suspek akan menggunakan ayat-ayat manis sehingga mangsa jatuh cinta dalam masa tiga bulan. Paling cepat, sebulan sahaja mangsa akan diperdaya.

“Suspek kemudian memperdaya mangsa dengan alasan seperti mahu memberi hadiah, pelaburan perniagaan, wasiat dan bayaran bil hospital,” katanya.

Selain itu, katanya, polis tidak dapat menjamin untuk mendapatkan semula wang mangsa kerana identiti suspek sukar dikenal pasti.

Sementara itu, Tina berkata, golongan wanita perlu mempersiap diri dengan ilmu pengetahuan yang khususnya dalam membanteras jenayah siber.

“Mereka juga perlu melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang boleh menghilangkan rasa sunyi supaya tidak terjebak dengan penipuan cinta dalam talian,” katanya.

Tina turut berharap program yang dianjurkan itu mampu memberi kesedaran kepada wanita untuk lebih peka dan tidak mudah tertipu.

Beliau yang aktif dalam memartabat kepentingan pendidikan dan wanita sudah banyak berkongsi pengalamannya menerusi jelajah Gerak Generasi Baru (GGB) yang bergerak ke daerah negeri Perak.