Wanita naik pentas utama mendekati Sultan Perak dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta

Berita Perak

IPOH: Wanita yang menaiki pentas utama mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri 2025 pada Ahad, dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, suspek berusia 41 tahun itu dan tamat tempuh reman hari ini dirujuk ke hospital berkenaan untuk pemantauan lanjut mengikut Akta Kesihatan Mental 2001 (Akta 615).

“Siasatan kes ini telah selesai dan kertas siasatan telah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perak dan akan dimajukan ke Pejabat Peguam Negara, Putrajaya pada 4 September bagi mendapatkan arahan serta keputusan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, sebarang perkembangan lanjut berhubung keputusan kes akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak tepat kerana ia boleh mengganggu proses siasatan dan menggugat ketenteraman awam,” ujarnya.

Pada Ahad, seorang wanita yang memakai kemeja dan seluar hitam tersebut dilihat berlari ke arah Sultan Nazrin yang sedang berdiri memberi tabik hormat sewaktu lagu kebesaran negeri Perak sedang dimainkan.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.20 pagi itu dan semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah selain rekod rawatan psikiatri yang kini berada di bawah pengawasan pakar.

Kes disiasat di bawah Seksyen 325 / 511 Kanun Keseksaan.