Wanita maut terbakar, polis sahkan tiada unsur jenayah

Berita Perak

IPOH: Polis mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah dikesan dalam kes kematian seorang wanita yang ditemukan dalam keadaan melecur berhampiran sebuah pusat beli-belah di Klebang, Chemor pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, siasatan awal mendapati wanita berusia 40-an berkenaan dipercayai mencurahkan petrol ke tubuh sendiri sebelum bertindak membakar diri.

Menurutnya, pihak polis berjaya mengesan seorang saksi bebas di tempat kejadian yang menyaksikan kejadian itu berlaku.

“Jadi pihak polis masih lagi menyiasat motif mangsa berbuat demikian,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Pesara-pesara Polis Sempena Sambutan Hari Pahlawan 2025 di Dewan Perpaduan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pekan Chemor di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis telah mengambil keterangan keluarga mangsa untuk membantu siasatan.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, mangsa yang merupakan anak jati Ipoh, menetap di Kuala Lumpur dan ketika kejadian, ahli keluarganya tidak mengetahui dia pulang ke kampung halaman.

“Sama ada mangsa berdepan masalah peribadi atau kesihatan, perkara itu masih dalam siasatan.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan tiada unsur jenayah dikesan,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Mejar V Balasingam di talian 016-9009011 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Dalam kejadian sekitar 11.20 malam itu, seorang wanita ditemukan meninggal dunia dengan kesan melecur kira-kira 80 peratus di seluruh badan.