IPOH: Seorang wanita berusia 24 tahun ditemukan selamat setelah hilang dipercayai melarikan diri dari rumah ke dalam hutan berdekatan dengan rumahnya di Kampung Dato Ahmad Said Tambahan 3, Manjoi di sini lewat malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, panggilan berhubung kejadian itu diterima pada jam 11.57 malam tadi.
Justeru itu, katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru ke lokasi dan mendapati keluarga wanita tersebut sedang mencari mangsa di sekitar rumah, selain cuba menghubunginya melalui telefon.
“Mangsa kemudiannya menjawab telefon dan memaklumkan dia sesat dan berada berhampiran dengan papan tanda Sungai Kati serta berasa takut.
“Mangsa berjaya dijumpai dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Jelasnya, ketua operasi melakukan size up dan mengaplikasikan konsep SAVER lalu mengarahkan anggota membantu membuat pencarian bersama sehingga mangsa berjaya ditemui.
Setelah itu, mangsa dibawa pulang ke rumahnya dengan menggunakan jentera EMRS dan diserahkan pada keluarganya untuk tindakan selanjutnya.
Operasi membabitkan seramai sembilan orang anggota bomba itu tamat 1.24 pagi.



