BUKIT GANTANG: Wakil rakyat bebas di negara ini mampu membentuk satu blok baharu yang akan menjadi gelombang ketiga dalam politik tanah air.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, ia akan menjadi alternatif kepada landskap politik negara yang kini dilihat semakin berpecah akibat konflik dalaman parti-parti politik.


Sehubungan itu, beliau turut menawarkan diri untuk menggerakkan usaha bagi mengumpulkan wakil rakyat bebas bagi tujuan itu.
“Kalau siapa yang nak berkhidmat, saya sedia kumpulkan dengan saya, kita akan jadikan ‘Gelombang Ketiga’
“Sebab bebas ini kita tak mahu terikat dengan mana-mana parti,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Mahasiswa Parlimen Bukit Gantang di Pusat Khidmat P069 Ahli Parlimen Bukit Gantang di sini, hari ini.
Beliau berkata, wakil rakyat yang bertanding atas tiket bebas tidak terikat dengan sebarang kepentingan parti, sebaliknya lebih fokus untuk memberi khidmat kepada rakyat.
Menurutnya, sistem kepartian yang diamalkan ketika ini menyebabkan calon terpaksa akur kepada pucuk kepimpinan walaupun berdepan kepincangan.
“Bertanding atas tiket sendiri bebas adalah lebih baik daripada bertanding parti.
“Parti memecahkan bangsa kita, lagi lama, lagi banyak parti lagi, banyak berpecah,” ujarnya.
Tambah Syed Abu Hussin, rakyat kini sebagai ‘perubahan pemikiran rakyat juga semakin jelas apabila pengundi kini lebih menilai calon berdasarkan perkhidmatan dan kredibiliti berbanding lambang parti.
“Yang penting kita beri perkhidmatan nyata kepada pengundi dan mereka akan hargai.
“Dulu bila saya sebut nak tanding bebas, ramai tak setuju. Sekarang orang nampak boleh buat kerja,” tambahnya.
Menurut beliau, sebelum ini calon bebas khususnya di Semenanjung kurang mendapat tempat namun situasi kini berubah apabila rakyat semakin muak dengan pertelagahan politik kepartian.





