VM2026: Perak sasar pelancong negara jiran, China, India

Berita Perak

IPOH: Perak mensasarkan kedatangan pelancong dari negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Singapuran di samping dari Selatan China dan India, sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Exco Industri, Pelaburan, Pelancongan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata,
sasaran itu dibuat berdasarkan faktor kedudukan geografi, kemudahan akses serta keserasian pasaran yang lebih dekat dengan Perak.

Menurutnya, Perak memang kuat dari segi pelancongan domestik dan usaha menarik pelancong antarabangsa perlu bermula dengan pasaran yang berdekatan.

“Dalam konteks antarabangsa, kita melihat Thailand, Indonesia dan Singapura sebagai pasaran utama kerana jarak yang dekat dan lebih mudah dicapai.

“Singapura pula merupakan satu-satunya destinasi yang mempunyai penerbangan antarabangsa terus ke Perak.

“Hubungan dengan Thailand telah terjalin sejak beberapa tahun lalu dan kita kerap menerima fam trip (lawatan pengenalan) daripada penggiat pelancongan negara itu manakala Indonesia pula mula digiatkan sejak tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Sesi Networking Bersama Pemain Industri Pelancongan negeri Perak di 1969 D’ Kelly Hotel di sini, hari ini yang turuf dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak yang baharu, Suhaimi Abu Hassan Shari.

Menurutnya, Perak turut memberi tumpuan kepada pasaran selatan China memandangkan populasi yang besar serta hubungan budaya yang rapat dengan komuniti Cina di Malaysia.

“Kita tidak menyasarkan keseluruhan China kerana kekangan sumber. Fokus kita adalah bahagian selatan China kerana secara realitinya, pelancong dari utara China kurang cenderung ke sini.

“Ipoh dan Taiping juga merupakan antara nama yang sudah dikenali di China, jadi ini memudahkan usaha menarik pelancong dari pasaran tersebut,” ujarnya.

Mengulas mengenai kekuatan pelancongan Perak, Sze Yee berkata, negeri itu mempunyai potensi besar dalam pelancongan alam semula jadi termasuk pelancongan kesihatan yang memerlukan tempoh penginapan lebih lama.

Menurutnya, sokongan pemain industri tempatan khususnya dari segi prasarana, bahasa dan tahap kesediaan menerima pelancong asing amat diperlukan dalam memperkukuh ekosistem pelancongan di negeri ini.

“Perkara asas seperti hotel yang bersih, selesa dan selamat amat penting, tidak semestinya memerlukan hotel lima bintang, tetapi penginapan yang berkualiti.

“Kebelakangan ini, Ipoh menunjukkan perkembangan positif dengan kehadiran hotel butik serta kemasukan jenama antarabangsa,” tambahnya.

Dalam pada itu, Sze Yee turut menekankan keperluan memperbanyakkan aktiviti malam bagi memanjangkan tempoh penginapan pelancong di Perak.

Menurutnya, aktiviti malam tidak harus disalah tafsir dengan aktiviti kurang baik, sebaliknya boleh merangkumi pelbagai aktiviti santai dan riadah seperti kafe, eksplorasi sungai, kampung dan hutan, selain lawatan malam ke produk pelancongan sedia ada.

Ends.