Usaha kembalikan kegemilangan Kampung Gajah sebagai pengeluar durian terbaik

Berita Perak

IPOH: Perak adalah antara negeri yang mengeluarkan durian yang bermutu tinggi dari segi rasa isinya yang tersendiri.

Durian D148 telah didaftarkan dalam Senarai Varieti Kebangsaan Jabatan Pertanian Malaysia pada 2 April 1985 dan diberi nama Durian Paduka.

Mengikut sejarahnya, Durian Paduka ini pernah dinobatkan sebagai durian terbaik di negeri Perak dalam pertandingan durian peringkat negeri pada tahun 1985.

Mendapat nama sempena lokasi asal pokoknya di Kampung Tok Paduka Raja, Perak, Durian Paduka semakin dilupakan apabila wujudkan pelbagai klon baharu seperti Musang King dan Duri Hitam

Bagi mengembalikan kegemilangan Kampung Gajah sebagai pengeluar raja buah terbaik, Persatuan Pembangunan Komuniti Perak Tengah dan Institut Agro dan Keusahawanan (IGROW) akan menganjurkan Festival Durian Antarabangsa Kampung Gajah 2025.

Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Perak Tengah, Nordin Abdul Malek berkata festival itu akan diadakan di sekitar Kampung Gajah bermula esok sehingga 30 Nov depan.

Menurutnya, sebagai permulaan, mereka mensasarkan kehadiran pengunjung kira-kira 10,000 orang, termasuk dari kalangan pelancong luar negara, khususnya negara-negara jiran.

“Pelbagai aktiviti akan diadakan sepanjang penganjuran festival tersebut antaranya pakej makan durian, jelajah kebun durian dengan berbasikal, jalan kaki santai di kebun durian serta menawarkan pakej edu-pelancongan kepada pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah.

“Ada banyak lagi aktiviti sampingan akan diadakan seperti demonstrasi memasak, pembuatan kraftangan dan kita juga dijangka menerima kunjungan khas delegasi daripada Gabenor Thailand dan Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan Thailand (SBPAC),” katanya pada sidang media di sini.

Nordin berkata, pelbagai kursus turut disediakan kepada mereka yang berminat menyertainya antaranya kursus durian Malaysia – Thailand, kursus membela ikan di kolam simen, kursus asas kendalian dron bidang pertanian serta kursus pembuatan tembikar bunga tampal.

Beliau berharap penganjuran festival itu dapat menarik pelancong domestik dan antarabangsa di samping memberi peluang perniagaan kepada usahawan tani dan komuniti setempat.

Dalam masa sama, katanya, ia juga mampu mengeratkan hubungan dengan negara serantau terutamanya Thailand dengan mengadakan pelbagai kerjasama berkaitan penghasilan durian.

“Penganjuran festival ini merupakan langkah strategik untuk melonjakkan kembali nama Kampung Gajah sebagai pengeluar durian terbaik selain menjana ekonomi, memupuk semangat perpaduan masyarakat serta mengangkat martabat produk tempatan ke peringkat global.

“Dengan sokongan semua pihak, festival ini diyakini akan menjadi acara berprestij dan mampu mencipta impak besar kepada komuniti tempatan dan negara,” katanya.