UPSI lebar sayap sebagai universiti pendidikan, buka sebuah sekolah rendah

Berita Perak

TANJONG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) maju setapak lagi dengan inisiatif baharu menubuhkan Sekolah Rendah Seri Budiman (SRSB) bagi melebarkan fungsinya sebagai sebuah universiti pendidikan ulung negara.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, pengambilan sulung seramai 28 murid Tahun 1 mulai tahun ini.

Berucap merasmikan Hari Terbuka SRSB di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City di sini, hari ini, beliau yakin sekolah itu akan mencapai kejayaan, pembelajaran, dan pencapaian yang membanggakan.

“UPSI menyokong pendidikan di sekolah ini yang dapat membantu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), malah konsep BITARA adalah pendekatan yang mampu memacu kejayaan, tidak hanya di peringkat nasional, tetapi juga antarabangsa” katanya.

Beliau mengucapkan tahniah kepada warga kerja Pusat Inisiatif Pemodenan Pendidikan dan UPSI Holdings Sdn Bhd yang berjaya merealisasikan impian UPSI untuk mewujudkan sekolah swasta di dalam kampus selepas berusaha selama 12 tahun.

Sementara itu, Guru Besar SRSB, Dr. Kama Shaffeei dalam ucapannya berkata, fokus sekolah itu adalag untuk melahirkan pemimpin masa depan, mengintegrasikan pendekatan neoterik berasaskan teknologi, serta memberi tumpuan kepada kerjasama dengan sokongan ibu bapa.

“Fasiliti UPSI baik dari kolam renang, stadium sehingga ke perpustakaan. Kesemuanya terbuka kepada warga SRSB, termasuk khidmat nasihat pakar pendidikan” ujarnya.

Menurutnya, konsep penubuhan sekolah itu berlandaskan perkongsian kepakaran dan usaha bersama untuk menerjemahkan idea serta inovasi dalam kurikulum yang menjadi platform rujukan pendidikan, menerapkan kaedah pembelajaran inovatif dan penyelidikan terkini.

Sempena perasmian SRSB, hari terbuka itu memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat lebih dekat fasiliti dan program-program yang ditawarkan oleh SRSB.

Beliau berharap SRSB akan membina kecemerlangan, malah majlis perasmian itu menjadi titik permulaan kepada perjalanan pendidikan yang bermakna dalam tahun 2024 dan akan datang.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah, UPSI Holdings Sdn Bhd, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Abdul Rahim Razalli; Timbalan Naib Canselor( Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Suriani Abu Bakar; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin serta Pengurus Besar UPSI Holdings Sdn Bhd, Mohd Effendy Datuk Mohamad Zailani.